Oleh : Cikgu Badrul

Peneroka Felda di Negeri Sembilan yang dijanjikan menjadi jutawan segera setelah menjual tanah mereka merungut bukannya kekayaan yang turun daripada langit, tetapi mereka mendakwa sekarang ini hujan “berwarna kuning” yang turun berkemungkinan berpunca daripada pusat pembuangan sisa toksik industri yang berhampiran.

“Dalam beberapa kilometer daripada sini terdapat kilang memproses sisa toksik berjadual. Pada peringkat permulaan pembinaan kilang ini, ramai penduduk yang telah membantah”, kata salah seorang daripada 185 peneroka yang menandatangani memorandum.

Peneroka-peneroka ini adalah daripada Sendayan – terletak 20 km daripada Seremban – yang mempunyai sekitar 5,000 orang penduduk dari 513 keluarga.

Menurut penduduk di situ, pada mulanya mereka tidak menyangkakan kerajaan akan membina kilang pemprosesan sisa toksik Bukit Nanas yang boleh membahayakan kesihatan mereka.

Walaubagaimanapun, asap yang dikeluarkan oleh kilang berkenaan yang terbina sejak 1998 telah mula mengganggu kesihatan dan kehidupan mereka.

“Kilang tersebut mengeluarkan asap yang banyak setiap malam . Pada keesokan paginya penduduk setempat akan melihat tompok-tompok kuning pada daun-daun pokok, kereta dan pakaian yang disidai diluar rumah. Adakalanya kami nampak hujan yang turun itu berwarna kuning” kata salah seorang penduduk.

Apa yang lebih membimbangkan mereka ialah adanya seorang kanak-kanak yang telah disahkan menghidapi barah saraf. “Para doktor tidak menolak kemungkinan bahawa pencemaran toksik mempengaruhi kesihatan kanak-kanak tersebut”, ujar mereka.


LOMBONG PASIR

Pada 21 Mei yang lalu , tujuh orang perwakilan daripada Jawatankuasa Bertindak Penduduk Sendayan telah menyerahkan memorandum kepada ketua pembangkang YB Lim Kit Siang di lobi parlimen. Walaubagaimanapun hanya dua orang perwakilan yang dibenarkan untuk masuk ke bangunan parlimen.

Perwakilan tersebut terdiri daripada jurucakap Enck Badrul Hisham Shahrin dan wakil penduduk iaitu Dollah Hussein, Jamlus Said, Abdul Wahab Mohd Soal, Mohd Noh Ishak, Sharil Abdullah dan Mustafa Abdul Latif.

Penduduk tersebut mengadu terdapat beberapa kawasan lombong pasir yang beroperasi di Sendayan.

“Penduduk Sendayan telah membantah pembukaan lombong pasir tersebut atas dua sebab – Ianya terlalu hampir dengan kediaman kami iaitu hanya 200 meter. Ianya mendatangkan bahaya. Siapa yang boleh memerhati anak-anak mereka 24 jam sehari supaya tidak bermain di kawasan lombong tersebut?”

“Pemilik lombong-lombong tersebut juga telah mengalihkan saliran air sungai yang berhampiran. Ini boleh mengakibatkan kemusnahan ekologi dan menyebabkan pencemaran”, antara kandungan memorandum tersebut.

Pihak kerajaan telah mengeluarkan dua lesen melombong pasir untuk Permatang Intan, sebuah syarikat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pemimpin UMNO setempat. Encik Dollah Hussein, salah seorang ahli perwakilan mengatakan bahawa masalah yang dihadapi oleh peneroka Felda di situ telah berlanjutan selama enam ke tujuh tahun dan tiada siapa setakat ini yang serius untuk membela nasib mereka.

“Kami telah berjumpa Perdana Menteri (Dr Mahathir) pada tahun 1998, dan juga Timbalan Perdana Menteri, namun tiada hasilnya”, ujar Dollah.

Dollah juga menceritakan bahawa mereka telah cuba menyerahkan sendiri memorandum tersebut pada Menter Besar Negeri Sembilan , Dato’ Mohammad Hassan pada 19 Mei yang lalu tetapi hanya wakil Menteri Besar yang berjumpa mereka.


JANJI RM 1.1 JUTA

Kumpulan perwakilan tadi juga menceritakan kekecewaan mereka terhadap status tanah mereka yang diamanahkan untuk diuruskan oleh kerajaan negeri selama sembilan tahun . Pihak kerajaan negeri dan Tabung Haji telah menyatakan bahawa kawasan tersebut akan membangun dengan begitu pesat dan menjanjikan pampasan yang besar.

“Daripada 513 keluarga, 460 keluarga telah menerima tawaran tersebut , dimana kami dijanjikan bayaran sebanyak RM 1.1 juta setiap lot. Ada daripada kami telah dibayar 10 peratus daripada jumlah tersebut, tapi hingga ke hari ini kami belum menerima baki bayarannya”.

“Kami telah pergi ke pejabat tanah sebanyak 27 kali dan telah menghantar banyak memorandum. Kami mahu Perdana Menteri prihatin dan memberi perhatian atas perkara ini”, tambah Dollah.

Perkara ini telah pun dibawa ke Mahkamah Tinggi Seremban. Pada bulan Mac tahun ini, mahkamah mengesahkan Encik Dollah dan penduduk lain layak menerima jutaan ringgit pampasan tersebut. Akan tetapi penduduk di sana tidak mendapat apa-apa berita daripada kerajaan negeri.

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Hakcipta © esyabab™ 2004